JOHOR BAHRU: Seorang setiausaha syarikat perladangan kelapa sawit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen melibatkan cadangan insentif lebih RM3.8 juta pada 2021.
Tertuduh, Muhammad Hizafiq Harryzan, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Hizafiq didakwa menggunakan dokumen palsu berkaitan Cadangan Bayaran Elaun Pengarah dan Cadangan Bayaran Insentif kepada Setiausaha Syarikat dan Pegawai Akaun pada kadar 82.06 peratus, iaitu sebanyak RM3,818,227.50 di Jalan Bukit Timbalan, di sini antara Ogos hingga Disember 2021.
Dia disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tempoh dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Zahida Muhammad Razi, manakala tertuduh diwakili peguam bela, R. Subash.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dan tarikh 3 September depan sebagai sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen. – UTUSAN










