Sempat ajar sahabat mengucap sebelum maut

Sempat ajar sahabat mengucap sebelum maut

FARIHAN Haikal Mohd Rasdi (kiri) menunjukkan gambar Muhammad Shahrul Huzaimi manakala rakan sebelahnya menunjukkan gambar Muhammad Alif Haikal semasa ditemui di Unit Forensik Hospital Pasir Mas, Kelantan semalam. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang remaja sempat mengajar sahabat baiknya mengucap sebelum maut selepas motosikal yang ditunggangi mangsa bergesel dengan dua motosikal rakan mereka di Jalan Hadapan Halal Hub, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, Muhammad Alif Haikal Abd. Rahman dan Muhammad Shahrul Huzaimi Mohd. Azman yang masing-masing berusia 17 tahun meninggal dunia manakala seorang lagi rakan mereka, Bilal Alif Mohd. Faizal, 19, cedera parah.

Farihan Haikal Mohd. Rasdi, 17, berkata, sebelum kemalangan berlaku, dia bersama ketiga-tiga mangsa dan beberapa rakan lain bermain ‘mobile game’ di telefon pintar masing-masing kira-kira pukul 9 malam di Dataran Lubok Jong di sini.

Menurutnya, selepas lebih dua jam berada di situ, tiga rakannya itu terus bergerak dengan menunggang motosikal masing-masing menghala ke Jalan Hadapan Halal Hub.

“Selang beberapa minit kemudian, saya menyusul mengikut mereka, namun terdengar bunyi dentuman kuat. Saya terus memecut motosikal ke lokasi mereka tetapi keadaan di situ sangat gelap.

“Kemudian saya nampak ketiga-tiga rakan sudah bergelimpangan atas jalan dengan masing-masing berlumuran darah. Saya terus menghampiri Muhammad Alif Haikal dan mengajarnya dua kalimah syahadah, namun dia sudah tidak bergerak,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik, Hospital Pasir Mas di sini semalam.

Farihan Haikal memberitahu, dia melihat keadaan Muhammad Alif Haikal yang dikenalinya sejak berusia tujuh tahun itu sudah putus paha selain usus perutnya terkeluar.

Katanya, Muhammad Shahrul Huzaimi dan Bilal Alif juga yang berada tidak jauh dengan Muhamad Alif Haikal juga tidak bergerak.

Sementara itu, Mohd. Azman Ariffin, 48, yang merupakan bapa kepada Muhammad Shahrul Huzaimi berkata, dia mengetahui anaknya terlibat kemalangan pada pukul 12.30 tengah malam selepas dihubungi seorang daripada rakan arwah anaknya.

Menurutnya, dia pada mulanya menyangka Muhammad Shahrul Huzaimi hanya terlibat nahas, namun dia kemudian dimaklumkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Arwah sempat makan malam selepas menunaikan solat Maghrib di rumah sebelum keluar dengan rakan-rakannya. Dia memaklumkan kepada ibunya untuk berjumpa dengan kawan-kawan sekolah,” ujarnya.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, berkata, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga mangsa menunggang motosikal dari arah Rantau Panjang menghala ke Pasir Mas sebelum bergesel sesama sendiri sehingga menyebabkan kemalangan.

Menurutnya, Muhammad Shahrul Huzaimi yang menunggang motosikal jenis Honda Wave meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhammad Alif Haikal menunggang Honda C100 maut semasa menerima rawatan di Wad Kecemasan, Hospital Pasir Mas.

“Ketiga-tiga mangsa dipercayai terlibat dalam aktiviti menduga kelajuan di lokasi kejadian. Kesemua mangsa juga tidak memakai topi keledar,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×