PASIR PUTEH: Anak perempuan kepada wanita yang maut dalam kemalangan di Kilometer 10, Jalan Pasir Puteh-Machang dekat Kampung Kandis di sini pagi tadi pula meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, kanak-kanak berusia tiga tahun itu menghembuskan nafas semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Anis.
Menurutnya, selain itu, ibu saudara kepada kanak-kanak tersebut berusia 18 tahun yang menaiki kereta sama mengalami kecederaan parah dan dirawat di hospital sama ketika ini.
Ujarnya, siasatan lanjut mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu wanita itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah SUV jenis Toyota Corolla Cross dipandu wanita berusia 30 tahun.
“Wanita yang berusia 36 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu kereta jenis Perodua Viva.
“Anaknya yang berusia tiga tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Anis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Utusan Online hari ini melaporkan, seorang ibu maut manakala anak perempuannya yang berusia tiga tahun parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Machang-Pasir Puteh dekat Kampung Kandis di sini hari ini.
Mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu meninggal dunia di semasa sedang dalam perjalanan ke Hospital Tengku Anis di sini selepas tersepit di dalam kereta jenis Perodua Viva yang dia pandu.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.56 pagi tadi.-UTUSAN










