Scorpene: SPRM panggil empat individu minggu depan

Scorpene: SPRM panggil empat individu minggu depan

SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pembelian kapal selam Scorpene daripada syarikat Perancis diteruskan selepas beberapa petunjuk baharu dite mukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil empat individu termasuk seorang pemilik syarikat minggu hadapan berhubung siasatan pembelian
kapal selam Scorpene daripada syarikat Perancis.

Satu sumber berkata kepada Utusan Malaysia, keterangan mereka diperlukan bagi menjelaskan beberapa perkara untuk siasatan lanjut.

Sumber menjelaskan, ia susulan penemuan petunjuk baharu oleh SPRM yang diperoleh daripada pihak-pihak di luar negara.

“SPRM telah memperoleh beberapa dokumen terdiri daripada pembayaran dan kerja kerja daripada pihak-pihak di luar negara. Lanjutan itu, terdapat beberapa penemuan baharu,” kata sumber.

Tambahnya, siasatan akan menumpukan sama ada terdapat pecah amanah atau salah guna kuasa dalam pembelian.

“Sebanyak empat syarikat dimiliki oleh ahli keluarga pemilik syarikat terbabit disyaki dikenal pasti SPRM menerima bayaran-bayaran tertentu dengan jumlah RM42 juta yang diseleweng,” jelasnya.

Terdahulu, siasatan SPRM terhadap pembelian kapal selam Scorpene daripada syarikat Perancis diteruskan selepas beberapa petunjuk baharu ditemukan.

SPRM telah melaksanakan semula siasatan itu dengan menumpukan kepada penyelewengan sebanyak RM42 juta.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada RM530 juta yang dibayar dalam kontrak pembekalan perkhidmatan sokongan dalam pembelian kapal selam terbabit.

Dalam pada itu, sebuah syarikat tempatan yang dilantik juga dalam pemerhatian SPRM selepas dikatakan membuat pembayaran kepada beberapa syarikat tanpa pengetahuan lembaga pengarah.

Dipercayai pembayaran-pembayaran dengan jumlah RM42 juta diseleweng kepada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh ahli keluarga pemilik syarikat terbabit.

Pembelian kapal selam itu mencetuskan polemik pada 2010 dan turut terkait ialah seorang bekas Perdana Menteri.

Pada 2002, bekas Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan ketika itu menyelia pembelian dua kapal selam jenis Scorpene dan satu kapal selam jenis Agosta daripada unit limbungan tentera laut Perancis, DCN (kini sebahagian daripada Thales) bernilai hampir AS$1.17 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN