Sah rangka itu Hafiz Fauzan - Bapa - Utusan Malaysia

Sah rangka itu Hafiz Fauzan – Bapa

HAFIZ FAUZAN ABD. HALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: “Alhamdulillah semua sudah selesai dan apa yang ditunggu sudah berakhir.”

Demikian luah Abd. Halid Sugiman, 44, selepas menerima keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang mengesahkan rangka manusia ditemukan di kebun durian berdekatan Kompleks Penghulu Mukim Linau, akhir bulan lalu,sah merupakan  anaknya, Hafiz Fauzan, 17. 

Keputusan itu diperolehnya pada pukul 4.43 petang tadi selepas dihubungi pihak polis bagi memaklumkan hasil ujian DNA yang dijalankan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru. 

Beliau akan menuntut rangka jenazah anaknya itu di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat pagi esok untuk dikebumikan. 

Hafiz Fauzan yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama (SMA) Parit Raja dilaporkan hilang selepas keluar menonton perlawanan bola sepak bersama-sama rakannya pada malam 26 Mei lalu di Parit Ju, Tongkang Pechah, namun tidak pulang ke rumah keesokan harinya.

Pelbagai usaha dilakukan keluarga untuk mencari Hafiz Fauzan yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik.

Pada 25 Jun lalu, rangka manusia ditemukan bersama sebuah motosikal hampir sama digunakan Hafiz Fauzan berdasarkan nombor pendaftaran seperti yang dihebahkan ahli keluarganya dalam media sosial selepas kehilangannya.

Turut ditemukan jaket dan topi keledar dipercayai digunakan mangsa. 

Rangka itu ditemukan celah pokok dalam kebun durian oleh pekerja yang memotong rumput pada 11.15 pagi.

Susulan penemuan itu, ibu bapa Hafiz Fauzan, Abd. Halid dan Zuraidah Zainuddin, 45, diambil sampel air liur dan darah untuk ujian DNA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN