MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin, mengancam untuk menghidupkan semula pengeluaran senjata nuklear jarak sederhana jika Amerika Syarikat (AS) meneruskan hasrat menempatkan peluru berpandu di Jerman atau Eropah.
Jika AS meneruskan rancangan tersebut, Putin berkata, Russia beranggapan negara itu bebas daripada perjanjian sebelum ini yang melarang penghasilan peluru berpandu jarak sederhana dan pendek.
Perjanjian itu yang ditandatangani oleh AS dan Kesatuan Soviet pada tahun 1987, antara lain, menghalang penghasilan peluru berpandu sedemikian yang boleh mencapai jarak 500 hingga 5,500 kilometer (km).
Washington dan Moscow juga menarik diri dari Perjanjian Nuklear Jarak Pertengahan pada tahun 2019 apabila masing-masing mendakwa melanggar perjanjian tersebut.
Russia kemudian menyatakan pihaknya tidak akan menyambung semula pengeluaran peluru berpandu tersebut selagi AS tidak meletakkan peluru berpandu di luar negara.
Awal bulan ini, Washington dan Berlin mengumumkan penempatan peluru berpandu termasuk Tomahawk di Jerman pada 2026.
Putin mendakwa, peluru berpandu itu berupaya tiba di Russia dalam tempoh hanya 10 minit jka dilancarkan sekali gus menjejaskan fasiliti pentadbiran serta pangkalan-pangkalan tentera Moscow.
“Situasi ini mengingatkan kita kepada peristiwa Perang Dingin yang berlaku susulan penempatan peluru berpandu jarak sederhana, Pershing milik AS di Eropah,” kata Putin.- AGENSI










