Rumah sewa terbakar, empat beranak tinggal sehelai sepinggang - Utusan Malaysia

Rumah sewa terbakar, empat beranak tinggal sehelai sepinggang

ANGGOTA bomba memadamkan api yang memusnahkan sebuah rumah sewa di Kampung Pontian Besar, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Empat beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah sewa mereka di Kampung Pontian Besar, dekat sini terbakar.

Walau bagaimanapun, tiga ahli keluarga yang berada di dalam rumah ketika kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam berjaya menyelamatkan diri sebelum api memusnahkan bahagian atas kediaman tersebut.

Menurut mangsa, Hidayatul Hafizah Tumiran, 38, ketika kejadian suaminya, Muhammad Faiz Hisyam Zalizan Fairul Azman, 24 dan dua anak mereka yang berusia 14 dan 12 tahun berada di dalam rumah, manakala dia sedang bertugas sebagai juruwang di sebuah stesen minyak di Jalan Kayu Ara Pasong.

“Dua bilik yang terdapat di bahagian atas musnah sama sekali selain pakaian dan buku-buku sekolah turut hangus, begitu juga dengan dokumen penting.

“Turut hangus wang tunai RM2,000  yang akan digunakan sebagai perbelanjaan untuk berpindah ke Kelantan pada 1 Ogos ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Serbaguna Muhammad Tahir Kampung Api-Api di sini, hari ini.

Hidayatul Hafizah memberitahu, suaminya yang bekerja sebagai pembersih permaidani telah menerima tawaran semula oleh majikannya sebelum ini untuk bekerja di Kota Bharu, Kelantan.

“Tak tahu mana nak cari duit lagi untuk kos berpindah ke sana nanti kerana duit simpanan telah hangus dalam kebakaran,” katanya yang menerima  gaji bulanan sebanyak RM1,600.

Memandangkan akan berpindah ke Kelantan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kawasan (1) Mukim Api-Api membenarkan mereka untuk tinggal sementara sebelum di PPS tersebut berpindah nanti.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian, Penolong Penguasa  Bomba Azhar Abdul Jalil berkata, rumah separuh kekal dua tingkat itu mengalami kemusanah sebanyak 50 peratus dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN