Produk jejak geo bakal diwujudkan Gua Pelangi - Utusan Malaysia

Produk jejak geo bakal diwujudkan Gua Pelangi

NICOLE Tan Lee Koon (empat dari kanan) dan Mohd. Faizal (tiga dari kanan) ketika mengadakan lawatan kerja ke Gua Pelangi di Felda Pasoh 4, Jelebu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Tapak kajian arkeologi Gua Pelangi yang terletak di Hutan Simpan Pasoh di sini akan dibangunkan sebagai sebuah produk jejak geo (geotrail) sekali gus daya tarikan pelancong ke daerah ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, penemuan artifak bersejarah yang diangarkan berusia 14,000 tahun pada 2015 lalu menjadikan kawasan gua itu mempunyai cukup elemen sebagai sebuah kawasan geotrail.

Sehubungan itu, menurut beliau, satu jumlah peruntukan akan di usaha untuk disediakan bagi merealisasikannya termasuk bagi tujuan melengkapkan fasa penyelidikan artifak di Gua Pelangi itu.

“Kita akan cuba mendapatkan peruntukan yang sesuai dan saya merancang untuk membentangkan peruntukan ini semasa pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan akan datang dan pada masa yang sama cuba mendapatkan dana dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Kawasan ini sangat berpotensi kerana mempunyai semua elemen yang melengkapi satu geotrail, perlu ada usaha untuk dapatkan peruntukan bagi melaksanakan projek ini, bagi saya buat permulaannya perlu ada sebuah galeri di sini bagi menempatkan lebih 30 artifak yang ditemukan dalam penyelidikan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Gua Pelangi di Felda Pasoh 4 di sini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd. Faizal Ramli.

Sementara itu, Mohd. Faizal berkata, satu jawatankuasa khusus yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan akan dibentuk bagi menentukan keperluan masing-masing bagi membangunkan kawasan Gua Pelangi sebagai sebuah produk jejak geo.

“Apabila sesuatu peruntukan dimohon jangan ada pihak yang tercicir oleh itu perlu diwujudkan satu jawatankuasa khusus bagi mengetahui apa yang diperlukan misalnya di pihak Jabatan Perhutanan atau Jabatan Mineral dan Geosains.

“Ia akan mengambil masa namun sudah tentu kita akan melihat apa yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat bagi perancangan tersebut,” katanya lagi.

Pada tahun 2015, media melaporkan sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menemukan artifak prasejarah di Gua Pelangi di sini yang berusia 14,000 tahun lalu.

Antara yang ditemukan adalah peralatan seperti kapak batu dan juga sisa makanan manusia prasejarah seperti rusa dan siput sedut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN