PRK Nenggiri: Saya sudah jumpa bakal calon, tunggu pengumuman Presiden-Ahmad Maslan

PRK Nenggiri: Saya sudah jumpa bakal calon, tunggu pengumuman Presiden-Ahmad Maslan

AHMAD Maslan semasa menyampaikan ucapan perasmian  Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-47 Persatuan Kontraktor Malaysia Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mendedahkan beliau sudah bertemu dengan bakal calon parti itu yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos ini.

Menurut Ahli Parlimen Pontian itu, bakal calon BN itu mempunyai peribadi bagus dan terpuji serta diyakini mampu memenuhi citarasa pengundi di kawasan berkenaan sekali gus menawan semula kerusi DUN Nenggiri.

“Saya sendiri sudah jumpa calon itu. Namanya saya tidak boleh sebut kerana itu adalah hak Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi). Seramai tiga nama telah dikemukakan oleh UMNO Bahagian Gua Musang dan dipersetujui serta dikekalkan oleh UMNO Kelantan yang kemudiannya dimajukan kepada UMNO pusat.

“Jadi tiga nama berkenaan susah ada di tangan Presiden UMNO, siapa mereka? Kita tunggu dengan penuh kesabaran kerana ia akan diumumkan sendiri oleh presiden dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-47 Persatuan Kontraktor Malaysia di sini hari ini.

Ahmad memberitahu, rakyat Nenggiri perlu memilih calon yang sealiran dengan pucuk pimpinan di peringkat pusat.

Katanya, hal ini kerana ia merealisasikan hasrat kerajaan persekutuan menerusi program pembangun.

“Dengan adanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang disokong kerajaan pusat aspek pembangunan lebih senang di bawa ke DUN Nenggiri kerana Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Felda, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Kementerian Kemajuan Dewa dan Wilayah (KKDW) semuanya merupakan agensi kerajaan pusat,” ujarnya.

Ahmad Maslan berkata, BN telah menetapkan sebanyak 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi PRK DUN Nenggiri nanti.

“Kita ada sembilan PDM melibatkan kampung tradisi, masing-masing lima PDM melibatkan masyarakat Orang Asli dan Kesedar serta satu PDM melibatkan Felda.

“Apa yang penting, saya berharap agar lebih 20,000 pengundi di DUN Nenggiri akan memilih calon yang mana pembangunan dibawanya boleh diteruskan oleh kerajaan pusat,” ujarnya.

Utusan Online sebelum ini melaporkan, Barisan Nasional (BN) Kelantan dijangka mengumumkan Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon parti itu dalam usaha merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang pada 17 Ogos ini.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber rapat BN berkata, pemilihan tokoh muda itu dibuat selepas Mohd. Azmawi memperoleh undian tertinggi kepimpinan UMNO Bahagian Gua Musang.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN