GUA MUSANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melihat tidak timbul sebarang isu calon Perikatan Nasional (PN) Mohd. Rizwadi Ismail diberikan kepercayaan untuk mewakili gabungan tersebut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri walaupun baharu menyertai parti itu.
Timbalan Presidennya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan menamakan bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas itu dibuat hasil persetujuan bersama kedua-dua pucuk pimpinan tersebut.
“Bagi saya tiada isu kerana beliau (Mohd. Rizwadi) mewakili PN dan seluruh jentera kedua-dua parti menerima baik apa yang telah diputuskan.
“Keputusan menampil calon muda ini dibuat selepas PN melihat majoriti pengundi di sini adalah anak muda. Jadi kita yakin keputusan ini tepat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon PN PRK Nenggiri di Masjid Hijau Renok di sini hari ini.
Ahmad Faizal memberitahu, PN yakin calon yang ditampilkan itu mampu menepati citarasa pengundi di kawasan tersebut.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, tindakan pengumuman calon yang dibuat tidak lewat sebaliknya ia adalah masa tepat.
Katanya, beliau yakin Mohd Ridzwadi mampu mengekalkan kemenangan di Nenggiri pada PRK nanti.
“Untuk PRK nanti, kita kekal menggunakan logo Pas iaitu simbol bulan,” katanya.
Utusan Online hari ini melaporkan
Perikatan Nasional (PN) mengumumkan bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, Mohd. Rizwandi Ismail sebagai calon mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos ini.
Perkara tersebut diumumkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud pada majlis yang berlangsung di Masjid Hijau Renok di sini.
Sebelum ini, bekas Ketua Pemuda UMNO Gua Musang Sheikh Razali Hamad yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disebut-sebut sebagai calon PN.
Pada PRK lalu, calon PN dari Bersatu Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab. Aziz Yusoff.
Sebelum ini, BN menamakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon bagi mewakili parti itu pada PRK kali ini.-UTUSAN









