BACHOK: Pemilihan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon Barisan Nasional (BN) bukan sahaja tepat malah mampu menepati selera pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Pengerusi BN negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ia dapat dilihat apabila penduduk di kawasan berkenaan menunjukkan petanda positif selain mereka sudah mengenali lebih rapat Mohd. Azmawi.
“Kita menaruh kepercayaan penuh, beliau (Mohd. Azmawi) mampu menggalas tanggungjawab dengan baik dalam membela kebajikan rakyat jika diberi mandat sebagai wakil rakyat nanti.
“Ini peluang terbaik rakyat untuk melakukan perubahan dengan memilih parti yang selari dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Potensi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kelantan di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini malam tadi.
Ahmad Jazlan memberitahu, BN akan melancarkan Jentera PRK Nenggiri pada 29 Julai di Kompleks UMNO Gua Musang dekat Bukit Cekati.
Katanya, pelancaran itu akan disempurnakan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Bagi saya tiada istilah lewat lancarkan jentera, kerana BN mendekati rakyat secara berterusan walaupun tewas pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu,” ujarnya.
Pada PRK lalu, calon PN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab. Aziz Yusoff.
Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah pada 13 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.
Ia selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Bersatu mengenai pengguguran keahlian Mohd. Azizi Abu Naim.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.-UTUSAN










