MACHANG: Barisan Nasional (BN) Kelantan dijangka akan mengumumkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan lebih awal.
Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, langkah itu bagi memberi ruang kepada calon untuk turun ke bawah dan menyantuni rakyat di kawasan berkenaan dalam usaha merampaskan semula kerusi berkenaan.
“Ada orang kata umum calon lebih awal tidak elok kerana orang tahu penyakit- penyakit itu dan ini. Kita umum lewat pun tidak menang juga, baik kita umum awal biar calon kenal orang dan turun ke bawah.
“Kita mahu Nenggiri menang dan saya akan bertemu dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid pada 17 Julai ini untuk membicangkan hal ini dan kita akan meminta beliau mengumumkan nama calon lebih awal,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Machang 2024 di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu di sini,malam tadi.
Ahmad Jazlan memberitahu, pengumuman lanjut mengenai calon itu dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Terdahulu, media melaporkan Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan bersetuju meletakkan calon Barisan Nasional pada PRK DUN Nenggiri 17 Ogos depan.
Ketua Sekretariatnya, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat yang berlangsung pada 9 Julai yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya mesyuarat itu turut dihadiri oleh Pimpinan Tertinggi mewakili Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.-UTUSAN










