KUALA LANGAT: Tiga pembantu rumah warga asing yang disyaki tidak dibayar gaji sejak enam bulan lalu diselamatkan polis di sini, semalam.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, SAC Soffian Santong berkata, operasi itu dilakukan di bawah Op Pintas oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sebuah kediaman dua tingkat, pukul 11 malam.
“Kami turut menahan seorang wanita yang merupakan majikan kepada tiga pembantu rumah terbabit.
“Serbuan telah menyelamatkan tiga wanita berusia 30 hingga 44 tahun membabitkan dua wanita warganegara Indonesia dan seorang Nepal,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Soffian, polis kemudian menahan seorang wanita tempatan berusia 62 tahun merupakan majikan mangsa serta seorang wanita Indonesia berusia 37 tahun untuk tindakan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.
“Mangsa dipercayai bekerja di rumah tersebut tanpa mendapat bayaran sementara menunggu mendapat pekerjaan di tempat lain.
“Siasatan awal mendapati suspek yang disyaki merupakan ejen pekerja pembantu rumah tidak berdaftar dan telah menjanjikan mangsa dengan gaji RM1,200 sebulan,” katanya.
Beliau berkata, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bagi tujuan siasatan lanjut. – UTUSAN










