Pindaan RUU Akta Penagih Dadah bantu pulih pengguna dadah NPS - Utusan Malaysia

Pindaan RUU Akta Penagih Dadah bantu pulih pengguna dadah NPS

PENGERUSI JKPD Negeri Sembilan, Suhaimizan Bizar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 mampu membuka ruang kepada pengguna dadah bahan psikoaktif baru (NPS) khususnya ‘magic mushroom’ untuk hadir secara sukarela mendapatkan rawatan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar berkata, penyalahgunaan dadah NPS semakin membimbangkan justeru menerusi pindaan berkenaan yang memberikan AADK untuk menguruskan kumpulan penagih dadah dengan lebih efektif bagi membantu pengguna dadah berkenaan.

“Kami berpendapat bahawa pegawai-pegawai pemulihan AADK berkompentensi dalam menjalankan tugas dengan profesional dalam merawat pulih klien-klien. Hanya jika terdapat isu-isu kesihatan sahaja mereka akan dirujuk kepada pegawai perubatan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Statistik menunjukkan kadar kejayaan kepulihan klien di Negeri Sembilan sebanyak 85 peratus, ini mencatatkan peratusan yang tinggi, yang mana klien ini dipulihkan sepenuhnya di bawah pegawai pemulihan. 

“Pindaan RUU ini membuka ruang seluas-luasnya kepada penyalahgunaan dadah NPS khususnya magic mushroom yang semakin membimbangkan untuk hadir mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela seperti yang termaktub dalam RUU ini,” katanya hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membentangan RUU Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat.

Sebelum ini Saifuddin berkata, langkah pindaan itu bertujuan memberi peluang kepada golongan penagih yang mendapat kesedaran untuk menawarkan diri menerima rawatan dan pemulihan secara sukarela.

Menurut beliau, pendekatan baharu yang mahu dilaksanakan adalah menjadikan individu terbabit dengan najis dadah perlu didekati sebagai klien atau pesakit, bukannya sebagai kumpulan penagih yang ditahan di penjara.

Pindaan akta itu juga nanti akan membolehkan AADK menguruskan kumpulan penagih dadah dengan lebih efektif dan mempunyai kuasa menentukan penagih dadah menerima proses rawatan dan pemulihan berbanding sebelum ini yang perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dalam pada itu, bagi Pengerusi JKPD Daerah Seremban, Nozama Mahadi, pindaan tersebut perlu dipertimbangkan kelulusannya kerana akan memberi impak yang besar kepada perkhidmatan rawatan dan pemulihan dalam pengendalian kes-kes klien.

“Saya melihat di Negeri Sembilan, AADK mendapat sokongan pemegang taruh melalui Majlis Tindakan Membenteras Dadah (MTMD), pemimpin-pemimpin politik dan komuniti, masyarakat dan sukarelawan JKPD yang terpilih mempunyai kepakaran dalam bidang penyalahgunaan dadah. 

“Ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh sukarelawan merupakan satu kelebihan untuk mereka empati kepada klien atau penagih, dengan ini mereka memahami dan menyokong tugasan pegawai pemulihan AADK bagi membantu mendapatkan rawatan dan pemulihan sukarela di AADK,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN