Pilihan raya UK, parti mana mendominasi?

Pilihan raya UK, parti mana mendominasi?

PERDANA Menteri Britain dan pemimpin Parti Konservatif, Rishi Sunak dalam kempennya di Muzium Tentera Nasional, London pada 2 Julai.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: United Kingdom (UK) menuju fasa pengundian hari ini, selepas Perdana Menteri, Rishi Sunak mengumumkan pilihan raya mengejut, Mei lalu.

Parti-parti politik yang bersaing untuk mengisi 650 kerusi di House of Commons, dewan rendah Parlimen UK, semuanya mengumumkan manifesto masing-masing meliputi isu ekonomi, Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS), imigresen dan hubungan UK dengan Kesatuan Eropah (EU).

Pilihan Raya Umum (PRU) terakhir di UK adalah pada Disember 2019, yang menyaksikan Boris Johnson dari parti pemerintah, Konservatif kembali berkuasa.

Selepas pengumuman Sunak, Parlimen dibubarkan pada 30 Mei lalu dan penjawat awam dan kerajaan tempatan mesti mengelak daripada membuat sebarang pengumuman mengenai inisiatif atau rancangan baharu yang mungkin dilihat menguntungkan parti politik tertentu.

Bagaimanapun, tempoh itu tidak menghalang calon politik daripada berkempen dan meraih undi.

Berikut adalah beberapa parti politik utama UK dan senarai manifesto yang diumumkan sempena PRU:

KONSERVATIF

– Juga dikenali sebagai Parti Konservatif dan Kesatuan atau secara tidak rasmi, Parti Tories atau Tory.

– Ditubuhkan secara rasmi pada 1834, menjadikannya antara parti politik tertua di dunia.

– Parti itu kini dipimpin oleh Sunak

Manifesto: Mengurangkan pinjaman dan hutang, memotong cukai sebanyak AS$22 bilion (RM103 bilion) setiap tahun menjelang 2029-2030, meningkatkan perbelanjaan melebihi inflasi dan melantik 92,000 jururawat serta 28,000 doktor tambahan.

Meningkatkan perbelanjaan pertahanan 2.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), membina hubungan pasca Brexit di Eropah serta mengenakan had yang mengikat untuk migrasi secara sah dan menghantar pulang pencari suaka yang tiba dengan cara tidak sah ke Rwanda.

BURUH

– Ditubuhkan pada 1900 dan kini dipimpin oleh Keir Starmer

– Kali terakhir memerintah adalah pada tahun 1997 hingga 2010 di bawah pimpinan Tony Blair dan Gordon Brown

Manifesto: Memperkenalkan strategi perindustrian baharu dan menumpukan kepada penciptaan kekayaan berbanding menaikkan cukai. Mengurangkan masa menunggu NHS dengan menambah 40,000 lagi janji temu kesihatan setiap minggu dan menggandakan bilangan pengimbas kanser.

Menghapuskan rancangan kerajaan untuk menghantar pencari suaka ke Rwanda, sebaliknya mengetatkan keselamatan sempadan dan meningkatkan hubungan dengan Eropah.

DEMOKRAT LIBERAL

– Ditubuhkan pada 1988 melalui kesatuan Parti Liberal dan kini diterajui oleh Ed Davey.

– Pernah berada di tampuk pemerintahan pada 2010 hingga 2015 dalam gabungan dengan Konservatif di bawah David Cameron dan Timbalan Perdana Menteri, Nick Clegg yang ketika itu adalah pemimpin Demokrat Liberal.

Manifesto: Meningkatkan hubungan dengan EU, menumpukan tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan bilangan doktor serta membayar pekerja penjagaan.

Meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada 2.5 peratus daripada KDNK setahun, menghapuskan skim Rwanda dan menarik balik larangan ke atas pencari suaka bekerja. Mengurangkan pelepasan gas rumah hijau menjelang 2045, menggaji profesional kesihatan mental di setiap sekolah.

GREEN PARTY

– Ditubuhkan pada 1990, kini dipimpin oleh Carla Denyer dan Adrian Ramsay

Manifesto: Menaikkan kadar cukai kepada golongan kaya. Meletakkan syarikat kereta api, air dan tenaga di bawah kawalan negara, meningkatkan peruntukan NHS dan membatalkan Trident, program pencegahan nuklear UK.

Menyertai semula EU, menghentikan semua pengekstrakan bahan api fosil baharu dan bergantung pada tenaga angin serta solar, selain menghapuskan yuran universiti.

REFORM UK

– Ditubuhkan pada 2019 sebagai Parti Brexit yang dipimpin oleh Nigel Farage

Manifesto: Mempercepatkan projek infrastruktur, menghapuskan birokrasi dengan membatalkan undang-undang pekerjaan yang menyukarkan majikan untuk mengambil dan memecat pekerja.

Mengurangkan cukai bagi pembelian hartanah, memotong cukai untuk kakitangan NHS dan pekerja penjagaan sosial, menawarkan pelepasan cukai untuk penjagaan kesihatan swasta serta mengambil 30,000 kakitangan tentera baharu dan meningkatkan perbelanjaan pertahanan.

Menahan dan menghantar pulang pendatang tanpa izin, menghapuskan lebih 6,700 peraturan EU yang UK kekalkan selepas Brexit dan mengharamkan ‘ideologi transgender’ di sekolah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN