PETALING JAYA: Memilih kursus tanpa membandingkan keupayaan diri sendiri membuatkan ramai pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) gagal memperoleh keputusan baik atau lebih buruk lagi, tidak dapat menghabiskan pengajian.
Seorang penuntut IPTA yang hanya ingin dikenali sebagai Shajeeda berkata, dia membuat keputusan menerima kursus yang ditawarkan semata-mata kerana minat terhadap subjek Matematik sejak dari bangku sekolah lagi.
Pelajar jurusan Sarjana Muda Sains Komputer ini pada mulanya yakin untuk mencapai cita-cita dalam bidang perisian data.
“Lama-kelamaan saya mulai sedar sukar memahami apa yang diajar oleh pensyarah.
“Dari semester satu hingga semester enam, walaupun saya mendapat keputusan lulus, namun ia tidak begitu memuaskan.Pada semester tujuh, saya dapat keputusan gagal.
“Saya terpaksa ulang semester tujuh bagi menjalankan latihan industri pada semester lapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dia kecewa dan sudah tiada minat untuk meneruskan pengajian, namun terpaksa membatalkan hasrat untuk berhenti belajar kerana terikat dengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selain dipaksa oleh ibu bapanya.
Bekas pelajar jurusan kewartawanan, Zambri, 26, pula berkata, kursus itu hanya membolehkan dia melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda.
Katanya, semasa pandemik Covid-19, kuliah dijalankan secara maya yang memberi cabaran dan tekanan kepadanya untuk meneruskan pengajian.
Zambri menyatakan, dia memang ada keinginan untuk memohon kursus lain, namun pada waktu itu kebanyakan IPTA masih menjalankan pengajian secara maya maka niat tersebut dibatalkan. – UTUSAN











