KUALA PILAH: Seorang penoreh getah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas dua pertuduhan merogol anaknya termasuk lebih empat tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 52 tahun bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang kini berusia 24 tahun yang mana oleh kerana perhubungan tertuduh dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang hukum agama, adat, kebiasaan yang terpakai kepada tertuduh untuk berkahwin dengannya.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 8 Julai lalu kira-kira pukul 10.30 malam di sebuah rumah di Gemencheh, Tampin.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh telah merogol mangsa yang sama antara bulan November sehingga Disember 2019 pada waktu pagi di rumah yang sama.
Untuk kedua-dua pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang mana jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni kemudiannya menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun tidak membuat sebarang rayuan mengenai wang jaminan tersebut.
Norma kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan dan sekiranya tertuduh melanggar syarat tersebut, jaminan akan ditarik serta merta.
Beliau kemudiannya menetapkan tarikh 26 Ogos ini sebagai sebutan semula kes, serahan dokumen serta lantikan peguam.
Media pada 15 Julai lalu melaporkan seorang bapa tergamak merogol anak gadisnya malah sehigga mangsa melahirkan bayi perempuan yang kini berusia empat tahun.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, perkara itu terbongkar apabila ibu saudara mangsa nekad membuat laporan polis dan siasatan awal mendapati kejadian rogol itu telah berlaku sejak tahun 2019.-UTUSAN.










