JOHOR BAHRU: Seorang peniaga, Asni Omar, 49, yang didapati bersalah membunuh pelancong warga Perancis pada Mei 2011 terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini hari ini mengetepikan hukuman itu.
Mahkamah Persekutuan kemudian menjatuhkan hukuman penjara 36 tahun berserta 12 sebatan bermula dari tarikh dia ditangkap, iaitu 21 Julai 2011.
Keputusan tersebut dibuat panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.
Asni didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Stephanie Foray yang ketika itu berusia 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Pahang antara 8 malam 10 Mei dan tengah hari 12 Mei 2011.
Mayat Foray ditemukan kira-kira tiga bulan kemudian selepas ditanam di dalam sebuah gua di Pulau Tioman.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noorhisham Mohd. Jaafar, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Kee Wie Lon yang turut dibantu Ee Gen You.
Pada 16 Ogos 2016, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan hukuman mati terhadap Asni selepas rayuan akhirnya ditolak panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Arifin Zakaria yang memutuskan bahawa tiada merit dalam rayuan tersebut.
Empat lagi Hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang ialah, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Balia Yusof Wahi. – UTUSAN










