Penduduk bantah bina menara telekomunikasi atas padang

Penduduk bantah bina menara telekomunikasi atas padang

PENDUDUK Taman Atara Perdana, Indera Mahkota 2 di Kuantan, Pahang menunjukkan lokasi tapak menara telekomunikasi yang bakal dibina di kawasan padang perumahan tersebut. – UTUSAN/DIANA SURYA ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Penduduk Taman Atabara Perdana di Indera Mahkota 2 di sini membantah pembinaan sebuah menara pemancar telekomunikasi setinggi 50 meter yang terletak bersebelahan taman permainan kanak-kanak.

Mereka mahu menara itu dipindahkan ke lokasi lain yang lebih selamat kerana bimbang dengan keselamatan dan kesihatan penduduk dianggarkan 5,000 orang.

Nihlah Mohd. Sidek, 55, berkata, pembinaannya dibimbangi memberi kesan negatif terutama risiko pencemaran elek­tromagnet dan keselamatan khususnya pada kanak-kanak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, tambah mengecewakan, projek itu tidak mendapat persetujuan penduduk.

“Kami sebagai penduduk ti­dak berpuas hati dengan tindakan kontraktor berkaitan pem­binaan tersebut.

“Tambahan lagi, menara itu bakal dibina di sebelah taman permainan kanak-kanak. Menara telekomunikasi tersebut memang terlalu dekat de­ngan kawasan perumahan, jadi kurang sesuai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Yusof Yahya, 66, pula berkata, bantahan dibuat kerana tapak menara tersebut berdekatan sekolah dan merupakan sebahagian kawasan padang.

“Ia satu-satunya padang yang ada untuk rekreasi penduduk di sini. Banyak lagi lokasi lain, seharusnya mereka bina jauh dari rumah penduduk, jauh dari tempat orang beriadah.

“Sepatutnya pihak berwajib mengambil tindakan de­ngan berbincang terlebih dahulu tetapi sebaliknya mereka terus mengorek tanah dan memaklumkan sudah mendapat kebenaran agensi kerajaan.

“Bila kita semak, ternyata tiada sebarang permohonan kebenaran. Patut kena datang berbincang. Bila sudah jadi macam ini, sudah mendatangkan kerugian,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Mohamad Muda berkata, pihaknya sudah memohon agar pihak kontraktor terbabit memindahkan pembinaan tersebut ke kawasan lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu, Chan Chun Kuang pula berkata, pihak bertanggungjawab yang membina menara tersebut sudah pun dimaklumkan tentang pertukaran lokasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN