Pemandu mabuk mengakui tak bersalah langgar polis trafik

Pemandu mabuk mengakui tidak bersalah langgar polis trafik

NG WEE LONG didakwa atas pertudihan memandu di bawah pengaruh alkohol dan melanggar seorang anggota polis trafik sehingga menyebabkan kecederaan di Mahkamah Majistret, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penyelia restoran makanan laut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dan melanggar seorang anggota polis trafik hingga menyebabkan kecederaan, Ahad lalu.

Tertuduh, Ng Wee Long, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa  memandu sebuah kereta Proton Wira dengan kandungan alkohol dalam badan yang tinggi, iaitu 121 miligram (mg) per 100 mililiter (ml), melebihi had yang ditetapkan  50mg/100ml hingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis trafik di Kilometer 3.6, Jalan Pantai menghala ke Permas Jaya pada pukul 7.05 pagi, 14 Julai.

Dia didakwa di bawah Seksyen 44(A1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (AKTA 333) dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama akta berkenaan (pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM50,000.

Lesen memandu tertuduh juga akan diendorskan serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama maksimum tujuh tahun dan lesen memandu percubaan jika ada dibatalkan,  jika disabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Inspektor S. Vikineswary menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan lesen memandu digantung sehingga kes selesai selain melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.

Walau bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon jumlah jaminan yang minimum dengan alasan hanya dia yang menanggung keluarga.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan dan menetapkan 25 Ogos depan sebagai tarikh  sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam bela.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×