Pelajar, guru sekolah menengah di Kota Bharu dijangkiti demam kepialu

Pelajar, guru sekolah menengah di Kota Bharu dijangkiti demam kepialu

DR. ZAINI HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Suasana di sebuah sekolah menengah di sini bertukar cemas selepas guru dan pelajarnya diserang penyakit demam kepialu sejak minggu lalu.

Difahamkan demam itu mula dikesan berlaku dua hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha.

Seorang ibu kepada pelajar di sekolah berkenaan yang enggan di kenali berkata, peringkat awal demam itu menyerang pelajar asrama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kemudiannya ia menular dan menjangkiti pelajar sekolah harian biasa dan semakin bertambah teruk ketika ini.

“Pelajar dan guru yang terlibat kini sedang menjalani kuarantin di Hospital Tumpat,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Ibu berkenaan memberitahu, dia difahamkan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan hadir ke sekolah esok untuk membuat ujian darah.

Katanya, ujian itu bagi mengesan tahap penularan penyakit berkenaan dalam kalangan warga sekolah berkenaan.

Sementara itu seorang bapa yang enggan dikenali mendesak supaya pihak sekolah tidak lepas tangan dalam mengendalikan isu ini.

Katanya, langkah pencegahan awal penting bagi menggelakan masalah ini bertambah parah kerana penyakit ini mudah merebak.

“Sebelum ini lebih 30 pelajar di sini telah diserang keracunan makanan. Jadi saya tidak mahu kes yang berlaku sebelum ini kembali berulang,” ujarnya.

Terdahulu satu mesej di aplikasi whatsApp yang memaklumkan pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu diserang penyakit berkenaan.

Sementara itu Pengarah JKNK Datuk Dr. Zaini Husin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkait kes tersebut.

Katanya, kerja-kerja pengawalan, pengesanan dan rawatan berkait kes sedang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN