JOHOR BAHRU: Polis sedang memburu pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza warna merah yang menyebabkan kematian seorang pejalan kaki di Kilometer 0.5, Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL), di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala lalu meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian langgar lari itu berlaku ketika mangsa berjalan kaki di lebuh raya itu yang menghala ke bandar raya ini.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang berada di kiri jalan dilanggar Perodua Alza tersebut. Pemandu kenderaan tersebut tidak berhenti dan terus melarikan diri selepas kemalangan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Kes disiasat dil bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis memohon saksi yang melihat kejadian tersebut agar tampil ke Balai Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Fatihah Ismail menerusi talian 010-4171762. – UTUSAN










