MACHANG: Sepasang suami isteri warga emas maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 3.7, Jalan Machang-Tanah Merah dekat Pusat Pemulihan Akhlak Machang di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, Abdul Razak Awang Kechik, 88, dan isterinya, Zaiton Ismail, 70, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang depan.
Ketua Polis Daerah Machang Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan mendapati, Abdul Razak memandu kereta jenis Perodua Kancil dengan membawa isterinya sedang dalam perjalanan dari arah Tanah Merah menghala ke Machang.
Menurutnya, kereta itu dipercayai terbabas ke laluan bertentangan semasa tiba di lokasi kejadian sebelum bertembung dengan sebuah bas ekspres yang membawa seramai 29 orang penumpang.
“Kemalangan itu menyebabkan pasangan suami isteri itu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada tubuh badan.
“Pemandu dan 29 orang penumpang bas ekspres yang terlibat bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Ahmad Shafiki memberitahu, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Machang di sini untuk proses bedah siasat.-UTUSAN









