KLUANG: Pasangan kekasih maut apabila motosikal dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang papan tanda jalan di Jalan Besar berhampiran Tasek Putih, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, penunggang, Ahmad Firdhous Sulaiman, 31, meninggal dunia sejam selepas kemalangan semasa menerima di hospital, manakala pembonceng, Nurul Syafika Atira Zakaria, 25, yang mengalami kecederaan parah maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal Yamaha MT-09 datang dari arah Jalan Besar menuju ke Bulatan Batu Pahat hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar tiang papan tanda jalan ketika sampai di lokasi kejadian.
“Akibat kejadian itu, Nurul Syafika Atira mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal di lokasi kemalangan.
“Ahmad Firdhous turut mengalami kecederaan parah di kepala dan badan meninggal dunia kira-kira satu jam selepas kemalangan ketika dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang
dua tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 ringgit dan tidak lebih daripada RM20,000,jika disabitkan kesalahan.
Orang ramai yang menyaksikan serta mempunyai maklumat tentang kejadian ini diharap dapat menyalurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN









