IPOH: Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan mereka yang menyertai persidangan DUN Perak pada minggu depan diingatkan supaya memakai batik Malaysia.
Persidangan DUN itu akan berlangsung dari Selasa 9 Julai hingga 11 Julai dan menjadi kelaziman penjawat awam serta ADUN mengenakan pakaian batik pada hari Khamis.
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mahu melihat kesemua terlibat memakai batik Malaysia meskipun ia bukan satu ketetapan wajib.
“Saya suka hendak mengingatkan pakaian batik dibenarkan pada hari Khamis dalam dewan. Tetapi saya suka hendak mengingatkan lanjut iaitu biarlah pakaian batik itu batik Malaysia.
“Bukan batik daripada Indonesia, batik Vietnam, batik Kemboja atau batik Afrika atau dari negara-negara lain. Batik Malaysia boleh dipakaikan dalam dewan negeri,” katanya dalam sidang media di sini kelmarin.
Katanya, persidangan selama tiga hari itu juga akan menyaksikan dua usul diketengahkan iaitu mengenai cadangan memperkenalkan enakmen atau peraturan baharu berkaitan pengawalan haiwan-haiwan berkeliaran.
Tambahnya, usul kedua mengenai cadangan mengadakan persidangan khas bagi menangani isu fenomena cuaca ekstrem dan perubahan iklim serta banjir kilat yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat di Perak.











