Orang Melayu kekal bersama PN - Pas

Orang Melayu kekal bersama PN – Pas

BUDI95
AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kemenangan lebih besar Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap memberi isyarat jelas kepada kerajaan Pusat bahawa pengundi Melayu kekal menolak gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, majoriti pengundi Me­layu menolak PH dan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang sebelum ini dan jumlah itu meningkat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap.

“Ini bermakna gabungan PH-BN gagal mendapat kepercayaan majoriti pengundi Melayu. Kegagalan itu makin bertambah parah. Orang Melayu kekal menjadi pengundi teras PN sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan PN kekal menjadi parti arus perdana Melayu buat masa ini.

“Selain itu, terdapat sejumlah pengundi Melayu yang tidak keluar mengundi atau tidak memberikan undi kepada PN dalam PRN lalu. Mereka adalah penyokong tegar UMNO yang tidak keluar mengundi mungkin kerana UMNO tidak meletakkan calon dalam PRN lalu.

“Jadi PRK kali ini mereka keluar mengundi dan walaupun ahli UMNO, mereka protes terhadap gabungan PH-BN dan memberi undi kepada PN. Sokongan penyokong UMNO kali ini sama seperti gelombang yang berlaku dalam PRU15 dan PRN Kedah,” katanya dalam rumusan yang dibuat di sini, semalam.

Pada PRK DUN Sungai Bakap, calon PN, Abidin Ismail, 56, menewaskan calon PH, Dr. Joohari Ariffin, 60, dengan majoriti 4,267 undi selepas Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal itu memperoleh 14,489 undi manakala lawannya sekadar 10,222 undi.

Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, pengundi Cina dan India juga didapati melakukan protes kali ini sehingga mereka tidak keluar mengundi ekoran kekurangan peratusan keluar mengundi yang amat ketara dalam kalangan golongan itu terutamanya orang Cina yang merupakan pengundi teras PH.

“Kali ini nampaknya mereka mengambil sikap tidak keluar mengundi. Ia sebagai tanda protes terhadap dasar-dasar PH-BN yang menjejaskan mereka, terutamanya dalam aspek ekonomi,” katanya.

Kata beliau, pengundi atas pagar juga tidak memihak kepada PH di Sungai Bakap kerana dipercayai didorong faktor isu sara hidup dan isu semasa yang berkait secara langsung dengan kehidupan mereka.

“Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kata PH-BN perlu sokongan pengundi atas pagar untuk menang tetapi keputusan PRK menunjukkan mereka gagal raih undi kumpulan itu. Pengundi atas pagar bukan pengundi teras PH dan bukan juga pengundi teras PN tetapi mereka mengundi tanpa dipengaruhi oleh fahaman mana-mana parti politik,” katanya.

Menurut Afnan Hamimi, pengundi Sungai Bakap juga tidak hirau ‘ugutan’ Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohammad Abdul Hamid yang menyatakan jika pengundi memilih calon PN, ia akan menyukarkan hubungan Abidin dengan kerajaan negeri selain wakil rakyat itu sukar berkhidmat kerana tiada peruntukan khusus.

Ugutan ini mungkin jadi punca PH-BN dihukum teruk. Selain itu, pengundi tidak termakan janji projek pembangunan dibuat Timbalan Perdana Menteri yang masih amal politik lapuk dengan menabur janji kononnya akan ada dua projek di bawah kementeriannya jika mereka menang.

“Janji Presiden UMNO itu langsung tidak dipercayai oleh para pengundi. Pengundi UMNO pun nampaknya berani memberikan mesej langsung kepada beliau supaya parti itu perlu dipulihkan daripada sakit tenat,” katanya.

Dalam konteks pengundi muda, kata Afnan Hamimi, golongan itu turut menolak PH-BN memandangkan hampir kesemua saluran mengundi anak muda di Sungai Bakap kekal bersama PN dan jumlahnya semakin meningkat berbanding PRN lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN