MPKu laksana ParkMax@Johor mulai 1 Ogos - Utusan Malaysia

MPKu laksana ParkMax@Johor mulai 1 Ogos

MOHD. Jafni Md. Shukor (kiri) menunjukkan tanda bagus sempena pelancaran Pendigitalan Sistem Bayaran Parkir MPKu di Ibu pejabat MPKu, Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) akan melaksanakan sistem pengurusan parkir digital dikenali sebagai ParkMax@Johor bermula 1 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, fasa pertama pelaksanaan sistem itu akan melibatkan 28 kawasan dan membabitkan 3,978 petak parkir di 101 tempat yang sudah diwartakan.

“Menerusi sistem baharu ini, kadar yang dikenakan masih lagi 60 sen untuk satu jam pertama dan 40 sen untuk jam berikutnya. Begitu juga kadar bayaran bulan parkir MPKu masih tidak berubah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tidak kuat kuasakan sistem ini sepenuhnya bagi memberi peluang orang ramai menggunakan sistem manual, iaitu dengan menggunakan kupon. Jadi, ketika ini orang ramai masih boleh menggunakan kupon untuk membayar parkir selain menggunakan aplikasi ParkMax@Johor untuk bayaran secara digital.

“MPKu memberi tempoh kupon manual boleh digunakan lagi dalam dua tahun ini untuk membolehkan orang ramai menghabiskannya. Bagi mereka yang mahu memulangkan semula kupon manual tersebut boleh berbuat demikian dengan MPKu,” katanya selepas melancarkan Pendigitalan Sistem Bayaran Parkir MPKu di Galeri MPKu, di sini hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua MPKu, Mohd. Fahmi Salam.

Mohd. Jafni berkata, MPKu merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) kedua melaksanakan bayaran parkir tanpa tunai selepas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan selepas ini akan diperluas ke empat PBT lain yang berada dalam wilayah ‘The Greater Johor’.

Menurutnya, pada peringkat permulaan, enam PBT terlibat iaitu MPKu dan MBIP diikuti Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan melancarkan sistem itu selepas perjanjian dengan konsesi parkir tamat tahun depan serta Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) juga akan melaksanakan sistem tersebut kerana termasuk dalam kawasan  Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Kita rancang enam PBT ini akan melaksanakan sepenuhnya sistem ini pada 2026. Secara keseluruhan kita akan laksanakan di 16 PBT di seluruh negeri tetapi keutamaan kita beri kepada enam PBT ini dahulu, selebihnya secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Fahmi berharap, orang ramai terutamanya warga Kulai akan dapat menjayakan inisiatif yang diperkenalkan MPKu itu dan meminta pemimpin masyarakat memaklumkan kepada penduduk di kawasan masing-masing.

“Kita juga akan membuat hebahan menerusi media sosial. Inisiatif ini bertujuan untuk memudahkan rakyat. Pengguna boleh terus membeli kupon parkir secara dalam talian, menambah waktu dan membuat pembayaran kompaun menerusi sistem ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN