MACHANG: Kementerian Pertahanan (Mindef) akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) melibatkan penugasan bagi memperkasakan lagi aspek keselamatan anggota semasa melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
Timbalannya Adly Zahari berkata, langkah tersebut bertujuan mengurangkan risiko kemalangan dalam kalangan anggota sepanjang penugasan.
“Kita tahu malang tidak berbau, semasa latihan atau operasi kemalangan boleh berlaku. Bagaimanapun, kita tetap perlu membuat persediaan untuk berdepan sebarang kemungkinan.
“Anggota pasukan pertahanan sememangnya diberikan latihan terutama berkait dengan ikhtiar hidup. Jadi Mindef akan membuat penilaian bagi memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya kepada pemberita semasa menyantuni veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Program Veteran Desa Madani di Kampung Padang, Temangan di sini hari ini.
Ujarnya, selain itu, Mindef turut memberikan perhatian kepada aspek komunikasi bagi memastikan kes anggota tentera yang hilang ketika bertugas sempadan Malaysia-Brunei dekat Limbang, Sarawak pada 18 Jun lalu tidak berulang semula.
Adly berkata, kerajaan mengambil serius perkara tersebut kerana ia melibatkan soal keselamatan anggota.
Dalam perkembangan sama, Adly meluahkan rasa syukur selepas anggota tersebut ditemukan dalam keadaan selamat.
Katanya, beliau berharap anggota tersebut akan segera pulih dan kembali sihat seperti biasa.
“Kita akan melakukan pemantauan dari masa ke masa untuk mendapatkan maklumat bagi memastikan anggota terbabit berada dalam keadaan baik.
“Ketika ini kita sedang mendapatkan maklumat daripada anggota terbabit dalam melengkapkan laporan,” katanya
Utusan Online sebelum ini melaporkan, Keupayaan seorang Anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), berjaya menyelamatkannya selepas 19 hari dilaporkan hilang.
Anggota terlibat dilaporkan hilang ketika menyertai Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) di sempadan Malaysia-Brunei dekat Limbang, Sarawak pada 18 Jun lalu.-UTUSAN










