JOHOR BAHRU: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim Friendly Watch (MFW) mahu mengubah persepsi pengguna Muslim di negara ini, khususnya melibatkan perniagaan restoran yang mengguna pakai perkataan ‘no pork, no lard’.
Presidennya, Noorman Kamsani berkata, pihaknya bimbang tentang kesahihan status halal sesebuah restoran yang mengguna pakai perkataan itu semata-mata bertujuan menarik pelanggan Muslim.
Justeru, pihaknya berharap dapat membantu lebih banyak pengusaha premis mendapatkan sijil pengesahan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kami mahu mengubah persepsi bukan sahaja pengguna, malah pengusaha premis bahawa perkataan ‘no pork, no lard’ sahaja tidak mencukupi untuk mengatakan makanan atau minuman di premis berkenaan halal.
“Sehubungan itu, kita bekerjasama dengan syarikat Zajas Sdn. Bhd., yang merupakan syarikat dilantik Jakim untuk membantu syarikat-syarikat membuat permohonan mendapatkan sijil halal bertaraf antarabangsa tersebut.
“Untuk tahun pertama kerjasama ini, kita sasarkan 1,000 syarikat baharu yang akan berjaya mendapatkan sijil halal Jakim, manakala jumlah itu dijangka bertambah 2,000 atau 3,000 setahun,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden Kebangsaan MTPN, Datuk Dr. Kevy KV Yeo dan Pengerusi Zajas Sdn. Bhd., Datuk Zainal Abidin Jaafar.
Noorman berkata, kerjasama antara pihaknya dengan Zajas Sdn. Bhd., adalah bagi tempoh lima tahun dengan matlamat utama memperkasakan sektor industri kecil dan sederhana (IKS) ke pasaran halal global.
Dianggarkan setiap tahun lebih 10,000 syarikat tempatan dan antarabangsa membuat permohonan bagi mendapatkan sijil halal Jakim dengan purata 60 hingga 70 peratus syarikat berjaya.
Sementara itu, Zainal Abidin memberitahu, terdapat pelbagai sektor perniagaan yang memerlukan sijil pengesahan halal termasuk makanan dan minuman, kosmetik, pusat sembelihan, produk perubatan dan barangan kegunaan harian.
“Sijil halal Jakim ini bukan sahaja diiktiraf di Malaysia, malah di seluruh dunia. Mana-mana produk yang mempunyai sijil halal Jakim juga mudah menjalankan perniagaan, khususnya di negara-negara Islam,” katanya. – UTUSAN











