MDEC berjaya lahirkan lebih 560,000 usahawan digital - Utusan Malaysia

MDEC berjaya lahirkan lebih 560,000 usahawan digital

AZNAN Tamin (tengah) bersama Syed Ibrahim Syed Noh melawat reruai pameran usahawan sempena Jelajah Saya Digital di Angsana Mall Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih 560,000 usahawan dalam talian yang dilatih oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sejak 2016 berjaya menjana jualan lebih RM1.26 bilion.

Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, angka itu dijangka meningkat  apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.

Katanya, program eUsahawan yang diperkenalkan pada 2016 memberi tumpuan membantu usahawan mikro, penuntut universiti dan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menceburi bidang perniagaan.

“MDEC juga menyasarkan untuk mewujudkan lebih 150,000 peluang pekerjaan dalam sektor digital tahun depan dengan memanfaatkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025. Pekerjaan ini dijangka mampu menjana pendapatan bulanan RM8,000 dan berharap dapat melatih lebih ramai rakyat menyertai program ini,” katanya selepas Majlis Perasmian ‘Jelajah Saya Digital’ di Angsana Mall Johor Bahru, di sini yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin.

Menurut Syed Ibrahim, sasaran itu mampu dicapai dengan sokongan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ)  yang dijangka membawa masuk lebih banyak pelaburan ke negara ini.

Katanya, peluang itu sewajarnya direbut bagi membantu usahawan tempatan mengembangkan pasaran mereka sehingga menembusi peringkat global.

“Sesetengah daripada mereka mungkin memerlukan geran kerajaan untuk berkembang dan kami akan membantu mereka menerusi pemadanan perniagaan dengan pelabur asing. Produk yang mereka jual berbeza-beza, daripada pes makanan sehinggalah produk berasaskan rotan, malah ada yang mendapat tempat sehingga mengembangkan pasaran ke Korea Selatan dan Jepun,” katanya.

Dalam pada itu, Aznan berkata, kerajaan negeri dalam fasa terakhir untuk memperkenalkan aplikasi khas bagi rakyat Johor mengemukakan sebarang aduan dan isu yang dihadapi di kawasan masing-masing.

“Ia sama seperti Sistem Pengurusan Pengaduan Awam untuk Ahli Majlis (SISPAA), tetapi aplikasi ini akan mengumpulkan semua aduan di bawah satu bumbung dan kita boleh memutuskan agensi mana yang akan diberikan tugas berdasarkan laporan.

“Langkah ini diambil hasil maklum balas orang ramai, kerana ada yang menyuarakan keluhan mereka dalam media sosial termasuk di Facebook Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN