KOTA TINGGI: Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Batu Layar, dekat sini bersama sahabatnya ditemukan 50 meter dari pesisiran pantai petang tadi.
Mayat Muhammad Syahmie Zamzam, 26, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 3.15 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira 1,500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa telah dicamkan oleh waris dan dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi bedah siasat. Usaha mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang masih hilang diteruskan di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Kes disiasat dan diklasifikasikan sebagai orang hilang dan mati mengejut.
Terdahulu media melaporkan kegembiraan dua sahabat mandi-manda di Pantai Batu Layar bertukar duka apabila dikhuatiri lemas pagi tadi.
Mangsa yang masih belum ditemukan ialah Haqim Abdul Rahim Lee, 20.
Orang ramai yang mengunjungi kawasan pantai dinasihati lebih peka dan berhati-hati atau menangguhkan aktiviti air sekiranya keadaan laut berombak dan berbahaya. – UTUSAN










