Masih boleh daftar perkahwinan walau tiada kad pengenalan - hakim - Utusan Malaysia

Masih boleh daftar perkahwinan walau tiada kad pengenalan – hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Individu tanpa kerakyatan berhak berkahwin secara sah di negara ini meskipun tanpa kad pengenalan kerana pihak berkuasa boleh mendaftarkan perkahwinan berkenaan.

Perkara itu ditentukan apabila sebuah keluarga tiga generasi di Perak berjaya dalam saman pemula bagi mendapat perisytiharan mereka warganegara Malaysia.

Mahkamah Tinggi Taiping membenarkan saman pemula K. Kamaladevi, 46, dan dua anak serta tiga cucu bahawa mereka berhak mendaftarkan perkahwinan berdasarkan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pesuruhjaya Kehakiman Noor Ruwena Md. Nurdin membuat keputusan itu selepas mengisytiharkan keluarga tersebut warganegara Malaysia dan Kamaladevi serta anak perempuannya mempunyai hak untuk mendaftarkan perkahwinan mereka.

Saman pemula itu menamakan Pendaftar Kelahiran dan Kematian, Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Menteri Dalam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Pertikaian itu bermula selepas Kamaladevi tidak dapat mendaftarkan perkahwinannya dengan seorang lelaki Malaysia, dan ketiga-tiga anaknya, termasuk dirinya tidak mempunyai kerakyatan.

Meskipun wanita itu mempunyai datuk dan nenek warganegara Malaysia, ibunya Letchimee hanya mempunyai sijil kelahiran dan tidak mempunyai kad pengenalan Malaysia sehingga ke akhir hayatnya.

Menurut hakim, plaintif membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa mereka mempunyai hak untuk diisytiharkan sebagai rakyat dan diberikan kewarganegaraan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut undang-undang, kanak-kanak yang dilahirkan melalui perkahwinan tidak didaftarkan, dianggap sebagai tidak sah taraf dan status kewarganegaraan mereka hanya boleh mengikut ibu.

Oleh itu, walaupun mereka mempunyai bapa warganegara Malaysia, mereka tidak secara automatik menjadi warganegara dan perlu memohon kewarganegaraan (tanpa jaminan kelulusan).

Perkahwinan yang sah antara seorang wanita tanpa kerakyatan dan seorang lelaki Malaysia bermakna anak mereka sah dan boleh mewarisi kewarganegaraan mengikut bapa.

Kerajaan sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan dan pengurusan kes ditetapkan pada 12 September ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×