Malaysia hantar surat sertai BRICS – Anwar

Malaysia hantar surat sertai BRICS – Anwar

ANWAR Ibrahim menerima kunjungan hormat Sergey Lavrov di Seri Perdana, Putrajaya, semalam. – FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia me­nghantar surat permohonan untuk menyertai blok ekonomi organisasi antara kerajaan, Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, surat permohonan itu dihantar kepada Russia selaku Pengerusi BRICS, baru-baru ini.

“Hari ini (saya) menerima kunjungan hormat Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov yang kini dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula Sabtu di Seri Perdana, Putrajaya.

“Perbincangan kami berputar isu penyertaan Malaysia ke dalam gabungan BRICS yang merupakan antara inti pati utama perbincangan, dan Malaysia telah menghantar surat permohonan kepada Russia selaku pengerusi organisasi antara kerajaan, BRICS baru-baru ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, semalam.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun me­rangkumi Brazil, Russia, India dan China dengan Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.

Pada Januari lalu, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyertai organisasi itu sebagai ahli baharu.

Mengulas berhubung kunjungan Sergey, Perdana Menteri berkata, antara yang dibincangkan adalah aspek pengukuhan kerjasama dua hala.

“Malaysia menegaskan agar hubungan sedia ada diper­tingkat dan diperkukuh terutama dalam sektor pelaburan dan perdagangan, sains dan teknologi, pertanian, pertahanan dan ketenteraan, pendidikan serta pelancongan dan budaya,” katanya.

Anwar berkata, perbinca­ngan turut memberi penekanan berkaitan isu sejagat melibatkan situasi terkini di Palestin dan Ukraine.

“Kedua-dua negara menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata secara kekal, bantuan kemanusiaan segera selain negara Palestin diperaku sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Berkenaan Ukraine, Malaysia menyeru agar dialog dan perbincangan menjadi jalan keluar kepada konflik ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN