GUA MUSANG: Seorang maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah bas ekspres dalam kemalangan di Kilometer 66, Jalan Gua Musang- Kuala Krai di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi, mangsa yang identitinya masih belum dikenal meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dari jalan Kampung Sungai Lakit secara tiba-tiba telah keluar simpang untuk ke laluan jalan utama.
Menurutnya, ekoran itu bas ekspres yang datang dari arah Kuala Krai menuju ke Gua Musang tidak sempat mengelak dan telah merempuh mangsa sehingga tercampak di atas jalan.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat serta pengecaman identiti.
“Motosikal mangsa telah remuk secara keseluruhan dan bas ekspres mengalami kerosakan pada bahagian bumper dan cermin hadapan sebelah kanan pecah,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menyalurkan kepada pihak polis supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN










