GUA MUSANG: Lebih 5,000 penduduk di Nenggiri bakal menerima manfaat pembinaan jalan baharu dari Jambatan Bertam ke Jalan Negeri D235 Gua Musang yang dijangka siap pada Mac tahun hadapan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek bernilai RM9 juta itu menjadi penghubung penduduk di kawasan Bertam Baru dan Bertam Lama yang sebelum ini dipisahkan oleh Sungai Nenggiri.
“Kemajuan projek ini berada di tahap 58.67 peratus iaitu mendahului jadual sebanyak 1.23 peratus. Kerajaan berharap pihak kontraktor dapat mengekalkan momentum penyiapan projek ini dengan menepati mutu yang ditetapkan dari segi kualiti, kos dan masa.
“Projek terbabit adalah kesinambungan Projek Membina Jalan dan Jambatan dari Kampung Bertam Baru ke Kampung Bertam Lama,” katanya kepada pemberita di Pejabat Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Jajahan Gua Musang di Bandar Baru, hari ini.
Ahmad memberitahu, apabila siap nanti laluan itu akan melengkapkan sistem rangkaian jalan yang menghubungkan kampung-kampung terdekat seperti Kampung Limau Kasturi dan Kampung Jerek untuk ke Bandar Gua Musang dan sebaliknya.
Katanya, pada masa sama projek itu dapat meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk luar bandar dan menjadi pemangkin serta pemboleh (enabler) bagi penduduk mengeluarkan, menghantar dan memasarkan hasil pertanian.
Ujarnya, Kerajaan Perpaduan sentiasa memberikan tumpuan pembinaan rangkaian perhubungan jalan raya selaras dengan hasrat Program MYJalan KKR menerusi penyediaan infrastruktur yang selesa dan selamat kepada semua rakyat.-UTUSAN











