PASIR MAS: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sedang mencari jalan terbaik dalam usaha memulihkan semula Kumpulan MARA Inc yang mengalami kerugian RM286.3 juta akibat salah pelaburan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini usaha-usaha pemulihan sedang dijalankan walaupun proses itu mengambil masa yang agak lama.
Menurutnya, beliau tidak berminat untuk mencari salah mana-mana pihak namun sebaliknya lebih menumpukan kepada proses mencari jalan untuk mengatasi permasalahan itu supaya tidak berulang.
“Kerugian ini berlaku semasa saya tidak menjadi menteri (KKDW).
“Kali ini KKDW dibawah pentadbiran saya jadi saya tidak akan memastikan kesilapan itu terus berulang,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Karnival Kerjaya dan Sukan Anak Muda Madani 1.0 di Padang Sekolah Sultan Ibrahim 1 di sini hari ini.
Ahmad Zahid memberitahu, bagi mengatasi kerugian itu beliau memberikan tumpuan kepada urus niaga melalui empat aset yang telah dibeli dengan melepasi harga pasaran.
Utusan Online semalam melaporkan, kerugian terkumpul dialami syarikat berkaitan kerajaan iaitu kumpulan MARA Inc berjumlah RM286.30 juta.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024, defisit pegangan saham Mara Inc adalah berjumlah RM115.73 juta dan liabiliti semasa berjumlah RM234.96 juta pada tahun 2022.-UTUSAN










