SEREMBAN: DAP masih belum membincangkan sebarang perkara berkaitan kerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Bagaimanapun, Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP mengalukan-alukan kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan kesediaan untuk parti itu terus berkerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan
“Soal PRU16 lambat lagi, namun kita kini dapat membentuk kerajaan gabungan kerana adanya semangat dan kerjasama tinggi.
“Jangan ada duri dalam daging sebab apa yang dihasratkan Ahmad Zahid menunjukkan satu semangat setiakawan dan semangat merapatkan lagi perpaduan. Ini amat penting dalam usaha kita menjayakan agenda dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya hari ini.
Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ehsan Mangsa Banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan di Balai Raya Kampung Blok C, di sini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO yang juga merangkap ADUN Ampangan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.
Ahmad Zahid sebelum ini menyatakan BN akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU16 namun BN dan PH akan masing-masing bertanding menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya itu nanti.
Menurut Anthony Loke lagi, apa yang paling penting ketika ini adalah semangat yang telah pun ditunjukkan umpamanya selepas membentuk Kerajaan Perpaduan menerusi kerjasama dalam siri pilihan raya kecil (PRK).
“Kerjasama dalam PRK ini seolah-olah wujudkan persefahaman dimana kerusi penyandang yang kosong masing- masing akan ditandingi oleh parti penyandang jadi ini terbukti wujud kerjasama itu tersebut termasuklah pada PRK Sungai Bakap.
“Saya rasa ini sudah cukup membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan memang kukuh dan DAP menerima hakikat itu. Pada hari ini kita berada dalam Kerajaan Perpaduan jadi apabila membuat sesuatu keputusan sudah tentu akan bekerjasama dengan hati terbuka.
“Biarlah Kerajaan Perpaduan berfungsi dengan baik sama ada di peringkat Persekutuan dan Negeri. Setakat ini saya melihat kerjasama kita tidak menjadi masalah termasuk di peringkat negeri dan di Negeri Sembilan umpamanya kerjasama BN-PH berjalan dengan lancar dan saya rasa itu petanda baik,” katanya lagi.-UTUSAN.










