Kastam tahan lori bawa 3.2 juta batang rokok seludup

Kastam tahan lori bawa 3.2 juta batang rokok seludup

WAN Jamal Abdul Salam Wan Long (tengah) memeriksa rokok yang dirampas dalam serbuan di Jeli, Kelantan. – UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebuah lori yang sarat membawa 3.2 juta batang rokok seludup bernilai RM2.4 juta termasuk cukai ditahan di Kilometer 0.4, Lebuh Raya Timur-Barat dekat Jeli, minggu lalu.

Serbuan kira-kira pukul 3.40 petang pada 2 Julai lalu terhadap lori dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun itu dijalankan selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan dengan kerjasama Ibu pejabat Polis Daerah Gerik, Perak menjalankan risikan.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, anggota kastam dan polis terus bertindak menahan lori tersebut selepas menerima maklumat berkaitan kes penyeludupan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori seberat 11 tan itu menjumpai 3.2 juta batang rokok seludup bernilai lebih RM229,918 tidak termasuk cukai dianggarkan sebanyak RM2.4 juta.

“Siasatan awal mendapati rokok tersebut diambil dari Jeli sebelum dibawa untuk dijual bagi pasaran di negeri-negeri utara Semenanjung.

“Pemandu lori berusia 49 tahun bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Wan Jamal berkata, JKDM Kelantan menggagalkan penjualan dan pengedaran pelbagai barangan seludup termasuk rokok dan arak bernilai RM2.44 juta menerusi Operasi Darat dalam tempoh seminggu.

Katanya, seramai 14 suspek berusia 20 hingga 49 tahun termasuk dua warganegara Pakistan dan seorang warganegara Thailand ditahan dalam operasi bermula 29 Jun hingga 5 Julai lalu.

“Sebanyak 16 kes dikesan di sekitar Gua Musang dan Jeli sepanjang tempoh tersebut.

“Sebanyak 64.61 liter arak, beras seberat 321 kilogram (kg), mercun (1.5 kg), petrol (1,140 liter), dua buah lori dan lain-lain barangan dirampas dalam operasi itu,” ujarnya.

Wan Jamal Abdul Salam berkata, siasatan mendapati penyeludup membawa masuk barang dagangan tersebut dari negara jiran melalui Sungai Golok atau pesisir pantai menggunakan sampan atau bot. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini