ALOR GAJAH: Kementerian Kerja Raya memohon peruntukan khas daripada Kementerian Kewangan untuk mematenkan lebih banyak produk inovasi dihasilkan pada Majlis Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Kerja Raya (JKR) yang diadakan setiap tahun.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peruntukan tambahan itu penting kerana banyak produk inovasi dan kreatif yang dihasilkan boleh dikomersialkan untuk pasaran tempatan.
Menurutnya, dalam tempoh tiga tahun dari 2022, lebih 100 produk inovasi JKR telah dihasilkan melalui platform KIK.
“Daripada jumlah tersebut, empat produk inovasi JKR telah dipatenkan termasuk lima produk di bawah kategori reka bentuk industri, empat produk di bawah kategori cap dagang dan 52 produk di bawah kategori hak cipta.
“Antara produk inovasi yang telah dikomersialkan seperti Tongue and Groove Shaped Concrete Drain, i-Supervision, Cut and Compact, Universal Mud Grip Tyre dan Median Night Reflector Post.
“Saya mengambil contoh produk inovasi yang dihasilkan oleh pasukan Ketua Pengarah JKR, Datuk Ir. Roslan Ismail berkaitan kaedah terbaru menutup lubang jalan. Tetapi disebabkan kekurangan peruntukan untuk mematenkan inovasi tersebut, ia telah ditiru oleh pihak lain dan dikomersialkan serta sudah berada di pasaran, namun kita tidak mendapat sebarang royalti,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) JKR, Simpang Ampat di sini, hari ini.
Tambah Ahmad, peruntukan yang diterima JKR menerusi Belanjawan 2024 untuk pembangunan inovasi tidak mencukupi iaitu sebanyak RM140,000 sahaja.
Katanya, Kementerian Kewangan perlu melihat semula peruntukan khas daripada sudut untuk mematenkan produk inovasi melibatkan kos yang tinggi. – UTUSAN











