Jeram Enggang tambah produk ekopelancongan Jelebu

Jeram Enggang tambah produk ekopelancongan Jelebu

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika mengadakan lawatan kerja ke kawasan Jeram Enggang, Ulu Klawang, Jelebu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Kawasan Jeram Enggang di Kampung Ulu Jelebu, Kuala Klawang di sini berpotensi untuk menjadi tarikan pengunjung sekali gus menambah produk ekopelancongan sedia ada.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir berkata, terletak kira-kira 12 kilometer dari pekan Kuala Klawang, Jeram Enggang memiliki tarikan kejernihan air yang masih terjaga serta khazanah hutan simpan menghiasi kawasan sekelilingnya.

“Kita mahu jadikan ia sebagai satu lagi tarikan pelancongan khususnya bagi aktiviti perkhemahan.

“Aktiviti itu akan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi seperti Jabatan Perhutanan dan agensi berkaitan pelancongan.

“Untuk ke Jeram Enggang juga perlu melalui perkampungan Orang Asli jadi banyak pihak perlu bekerjasama untuk memajukan kawasan berkenaan,” kata beliau kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, menurut beliau, beberapa kemudahan telah didirikan cuma perlu ditambah baik daripada beberapa aspek terutamanya jalan untuk masuk ke kawasan itu.

Bakri berkata, selain Jeram Enggang kawasan tersebut juga mempunyai satu lagi jeram iaitu Jeram Tiga Lapis yang juga boleh menggamit kehadiran penggemar aktiviti rekreasi dan ekopelancongan.

Sementara itu, kata beliau, lokasi perkelahan lain yang juga popular di Jelebu ialah Taman Eko Rimba Jeram Toi yang telah selesai kerja-kerja dibaik pulih selepas ia musnah ketika banjir besar pada pertengahan bulan Disember 2021.

Bagaimanapun jelasnya, lokasi itu masih belum bersedia dibuka kembali kerana terdapat beberapa aspek keselamatan perlu diambil kira.

“Pihak Jabatan Perhutanan memaklumkan kerja-kerja pembaikan telahpun siap namun ada berlaku kejadian turunan pasir-pasir di kawasan sekitar dan mereka melihat ia belum selamat untuk dibuka kepada orang ramai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×