KOTA BHARU: Jangkitan demam kepialu yang ‘menyerang’ pelajar dan guru di sebuah sekolah menengah di sini berada dalam keadaan terkawal.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr. Zaini Husin berkata, pelbagai usaha telah diambil termasuk menjalankan saringan ke atas 1,000 kakitangan sekolah termasuk pelajar.
Menurutnya, ujian saringan selama tiga hari itu bermula semalam yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Saringan ini susulan lima pelajar disahkan dijangkiti demam kepialu. Ia membabitkan pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun termasuk kakitangan sekolah yang lain.
“Ujian saringan ini juga bagi memastikan pelajar dan kakitangan lain bebas daripada terkena jangkitan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujarnya, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga kesihatan diri bagi mengelakkan sebarangan jangkitan yang serius termasuk tifoid.
Utusan Online sebelum ini melaporkan,
suasana di sebuah sekolah menengah di sini bertukar cemas selepas guru dan pelajarnya diserang penyakit demam kepialu sejak minggu lalu.
Difahamkan demam itu mula dikesan berlaku dua hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha.
Seorang ibu kepada pelajar di sekolah berkenaan yang enggan di kenali berkata, peringkat awal demam itu menyerang pelajar asrama.
“Kemudiannya ia menular dan menjangkiti pelajar sekolah harian biasa dan semakin bertambah teruk ketika ini.
“Pelajar dan guru yang terlibat kini sedang menjalani kuarantin di Hospital Tumpat,” katanya ketika dihubungi.-UTUSAN










