PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak keterlaluan dalam membahaskan polemik berkaitan isu Blackrock.
Perdana Menteri berkata, pendirian kerajaan tentang Gaza antara paling jelas dan keras berbeza dengan negara lain, namun mana-mana pihak tidak sewajarnya menuntut lebih daripada itu, mengikut nafsu serakah semata-mata mahu tunjuk hebat sehingga merosakkan kepentingan negara.
Beliau berkata, dalam mempertahankan prinsip memperjuangkan nasib rakyat Palestin, beliau mahu negara ini selamat dan terjamin kedudukannya.
“Kezaliman Israel terhadapPalestin berlangsung sejak 1948 lagi, segala kemusnahan, pengusiran jutaan orang, pembunuhan besar-besaran, istilah apa pun memang kezaliman yang sangat jelas, tiada yang pertikai, serangan di Gaza baru-baru ini juga terus parah.
“Jadi kalau ada syarikat Microsoft, Google tunjuk simpati kepada Israel, kita memang menentang, tetapi adakah saudara fikir kita harus tutup semua laluan kerjasama dengan mereka? Itu masalah juga untuk kita.
“Ada keupayaan kita dan ada juga kekangan yang terpaksa kita terima,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kerjasama Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersama Global Infrastructure Partners (GIP) sudah bermula sejak 2012.
Beliau berkata, lapangan terbang negara ada kebaikannya dan kekuatannya tetapi ketimbang lapangan terbang besar lain, ada banyak kelemahannya terutama dari segi kejuruteraan, pakar teknikal, pengurusannya.
“Ada ruang yang harus diperbaiki kerana kita sudah agak ketinggalan, perancangannya dan pelbagai lagi, keputusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan KWSP (melibatkan Malaysia Airport Berhad (MAHB) kemudian mereka maklumkan kepada saya dan saya kata teruskan,” katanya.
Berdasarkan semakan data, BlackRock sudah mempunyai kepentingan dan pegangan saham dalam syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia bernilai RM24.7 bilion dan RM7.9 bilion dalam bon kerajaan dan korporat Malaysia.
Data yang boleh diperoleh secara terbuka itu menunjukkan sehingga Mei 2024, firma pelaburan global itu sudah sedia ada memiliki pelaburan dalam ekuiti, dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia yang merangkumi keseluruhan sektor industri, dengan tiga institusi perbankan di negara ini.
Anwar memberitahu, pada 2018, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad di London pernah menekankan keperluan firma itu masuk ke Malaysia.
Kemudiannya pada 2021, Perdana Menteri ketika itu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) meluluskan cadangan KWSP untuk menyerahkan kepada Blackrock untuk menguruskan dana khas KWSP RM600 juta.
GIP merupakan pelabur infrastruktur terkemuka yang menguruskan aset bernilai AS$112 bilion (RM528 bilion) bagi pihak pelaburnya yang merangkumi 500 institusi pelaburan di seluruh dunia.
Anwar sebelum ini memaklumkan, Malaysia tidak sekali-kali menggadai prinsip menerusi perubahan pemilikan saham dalam MAHB kepada syarikat asing.
Sebaliknya MAHB selaku syarikat menguruskan semua lapangan terbang negara ini tetap menjadi milik tanah air apabila Khazanah dan KWSP masih pemegang saham majoriti dengan 70 peratus, manakala selebihnya 30 peratus pegangan akan dimiliki GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA).
Perkara ini sekali gus menepis dakwaan MAHB akan dijual kepada pihak asing.










