KLUANG: Pengalaman ketika menjadi pembangkang selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang dalam pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) pada 2018 perlu dijadikan pengajaran dan iktibar oleh ahli UMNO di seluruh negara.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pada ketika itu UMNO seperti kehilangan maruah, malah wakil rakyat parti keramat orang Melayu itu dihina dan dicerca dengan pelbagai tanggapan.
“Jadikanlah apa yang berlaku sebelum ini sebagai sempadan untuk kita tidak mengulangi kesilapan lama sedangkan rakyat terus memberikan harapan kepada kita menjadi pelindung mereka,” katanya semasa merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Simpang Renggam di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) di sini hari ini.
Justeru, apabila diberikan kepercayaan semula oleh rakyat negeri ini selepas memenangi PRN Johor 2022, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam menegaskan supaya semua wakil rakyat BN, terutamanya UMNO tidak alpa untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, khususnya pengundi di kawasan masing-masing.
“Jangan bermegah dengan jawatan disandang kerana itu adalah yang sudah diamanahkan oleh pengundi di kawasan masing-masing.
“Dah jadi wakil rakyat, jangan angkuh dan sombong, ambil cakna setiap apa yang disuarakan oleh rakyat,” katanya.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor turut mengingatkan semua ahli- supaya tidak lari daripada asas perjuangan parti yang dilahirkan di Istana Johor dengan tujuan utama untuk menyatukan orang Melayu.
Beliau meminta supaya ahli UMNO merapatkan saf dan bergerak sebagai sebuah pasukan dalam mengangkat semula martabat parti berkenaan. – UTUSAN










