Isu tuntut Sabah: Bangkitkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN

Isu tuntut Sabah: Bangkitkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN

PANDIKAR AMIN MULIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Isu tuntutan Filipina ke atas Sabah yang kembali dibangkitkan seharus­nya menjadi agenda utama negara pada sidang Kemuncak ASEAN tahun depan.

Bekas Speaker Dewan Rak­yat, Tan Sri Pandikar Amin Mu­lia berkata, tiada ertinya Malay­sia sebagai anggota ASEAN dan Pengerusi ASEAN sekiranya perkara sebegini tidak boleh dibincangkan secara serius.

Menurut beliau, amat me­nge­cewakan apabila isu tuntutan Filipina terhadap Sabah tidak pernah dibincangkan secara serius dan agresif dalam mesyua­rat-mesyuarat ASEAN sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata beliau, Presiden Filipina silih berganti, namun perkara berkaitan iaitu tuntutan terhadap Sabah masih dibangkitkan sehingga sekarang.

“Perkara berkaitan tuntutan Filipina terhadap Sabah ini harus dibincang secara terbuka dalam Kemuncak ASEAN.

“Selepas itu, kita buat balik memorandum untuk menyatakan pendirian Sabah bahawa kita tidak mahu dituntut oleh mana-mana negara kerana Sabah adalah sebuah wilayah yang merdeka dan sama-sama membentuk Malaysia.

“Perkara ini seharusnya ditangani sejak berpuluh-puluh tahun lalu kerana negara jiran kita Filipina, Brunei dan Indonesia mengetahui asal usul kemerdekaan Sabah dan Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, kerajaan me­nyerahkan nota diplomatik ke­pada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres sebagai menyatakan negara ini sebuah negara berdaulat yang turut merangkumi Sabah dan Sarawak.

Malaysia menyerahkan nota diplomatik tersebut bagi me­nyatakan bantahan sekali gus menolak tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Dalam nota diplomatik itu, kerajaan menyatakan secara jelas, menolak pemfailan itu atas alasan pemanjangan sempadan pelantar benua yang dikemukakan Filipina dilakukan berdasarkan garis dasar Sabah.

Pandikar Amin yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) berkata, beliau juga melihat pe­mimpin-pemimpin negara ini tidak serius mengenai isu tuntutan terhadap Sabah.

TUNTUTAN

“Pemimpin silih berganti, namun isu tuntutan sebegini masih tidak dapat diselesaikan.
“Tuntutan ini kerap dibang­kitkan kerana Malaysia tidak tegas terhadap perkara sebegini.

Adakah kemerdekaan Sabah melalui Malaysia ini adalah kemerdekaan olok-olok?” soal­nya.
Pandangan sama dikongsi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang mahu perkara berkaitan tuntu­tan Filipina terhadap Sabah itu dibincangkan dalam Kemuncak ASEAN.

Beliau yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, Malaysia boleh bertindak tegas dalam mengemukakan kenyataan berasingan untuk menolak tuntutan terhadap Sabah, namun hubungan kerjasama ekonomi dengan negara jiran masih perlu diambil kira.

“Dalam kita ingin bertegas terhadap isu tuntutan sebegini, kita tetap perlu menjaga hubungan kerjasama ekonomi dengan Filipina kerana mereka adalah negara jiran kita. Jadi, saya cadangkan isu tuntutan terhadap Sabah ini dibincangkan di sidang Kemuncak ASEAN,” kata beliau.

Jeffrey memberitahu, sempadan negara telah diputuskan pada 1954 seperti yang ada dalam Pelantar Benua dan tidak boleh Filipina membuat tuntutan terhadap Sabah kerana ia merupakan wilayah di dalam Malaysia.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, kerajaan perlu sentiasa telus dalam memaklumkan setiap perancangan atau usaha-usaha yang telah dilaksanakan dalam menolak isu tuntutan Filipina terhadap Sabah secara meluas dan terbuka.
Jelasnya, ia penting kerana isu sebegini begitu dekat di hati rakyat Sabah.

 

“Jadi, program-program dialog bersama rakyat berhubung isu ini termasuk pemakluman sejarah perlu dilakukan agar tiada lagi kemusykilan dan kekeliruan dalam kalangan rakyat di Sabah,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini