HULU TERENGGANU: Kewujudan spesies ikan sikang di Sungai Berang, Kampung Betong dekat sini menjadi tarikan buat kaki pancing termasuk dari luar negara khususnya yang menggemari cara menangkap ikan melalui kaedah pancing layang.
Kawasan sungai sepanjang kira-kira tujuh kilometer dikhaskan sebagai zon pancing layang di Kampung Betong dikendalikan Komuniti Kampung Betong dengan kerjasama Terengganu Fly Fishing Club (TFFC).
Pengasas TFFC, Christopher John Mcllravy berkata, kaedah pancing layang merupakan teknik memancing paling sesuai digunakan bagi menangkap ikan sikang atau nama saintifiknya raiamas guttatus kerana tidak mencederakan.
Menurutnya, ikan sikang biasanya tinggal di kawasan sungai yang berpasir serta berbatu kerana habitat itu terdapat sumber makanan selain sesuai untuk bertelur dan membiak.
“Ikan sikang tidak tinggal di kawasan lubuk atau aliran sungai biasa. Sifatnya yang sensitif perlukan kaedah tangkapan sesuai iaitu secara pancing layang dengan berkonsepkan tangkap dan lepas.
“Teknik pancing layang ini berbeza dengan kaedah lain kerana menggunakan tali serta umpan ringan diperbuat daripada bahan semula jadi seperti bulu burung, gabus serta bulu ayam yang dibentuk menyerupai serangga atau makanan ikan bagi menarik perhatian ikan.
“Kaedah tangkapan yang betul penting bagi pastikan aktiviti tersebut tidak mengganggu kelestarian hidupan itu. Selain Sungai Berang, terdapat kawasan yang turut ditemui ikan sikang di Terengganu iaitu Sungai Loh, Hulu Dungun,” katanya ketika ditemui, semalam.
Tambah Christopher yang berasal dari Texas, Amerika Syarikat, ikan sikang sering dikaitkan dengan trout. iaitu spesies ikan air tawar terkenal di luar negara, namun sebenarnya kedua-duanya daripada keluarga berbeza.
Ujar individu yang menjadi nadi utama mengkomersialkan kawasan habitat ikan sikang di Hulu Terengganu ke peringkat antarabangsa ini lagi, ikan itu boleh membesar sehingga mencapai saiz ikan temoleh atau seberat satu kilogram jika habitat dipelihara dengan baik. – UTUSAN











