KUANTAN: Seorang ibu tunggal orang kelainan upaya (OKU yang turut menanggung anak lelakinya yang juga mengidap autisme berharap ada pihak-pihak yang sudi membantunya memberi kerja dari rumah.
Rabiyatul Fazlinaniswati Mohd. Yassin, 41, wanita OKU lembam berkata, buat masa ini dia hanya menagih simpati jiran untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama anaknya, Muhd. Firdaus Mahadi, 4.
Kata wanita itu, dia berharap ada pihak sudi membantu memberikan pekerjaan bersesuaian dengan kekurangan fizikalnya dan boleh dilakukan di rumah.
“Saya sanggup bekerja jika ada orang hendak bagi kerja dari rumah. Kalau dapat duit hasil pekerjaaan, ada rezeki lebih, dapatlah hidup macam biasa dan tidak perlu saya meminta-minta sebab kalau asyik meminjam hendak bayar balik pun susah juga.
“Buat masa sekarang, kerja yang saya boleh buat… jual buah kelapa, bila orang bayar dapatlah pakai duit untuk beli lauk,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Kampung Sungai Ular di sini.
Rabiyatul berkata, kehidupannya dan anak lelakinya bertambah sukar sejak ditinggalkan suami beberapa tahun lalu.
Jelasnya, jika dulu ada pasangan hidup yang menyara kehidupan dia dan anaknya namun kini tanggungjawab mencari rezeki digalas olehnya dan adakalanya dia turut terputus bekalan makanan.
“Dalam tempoh ini, saya beberapa kali pernah tidak makan langsung disebabkan beras habis. Setakat ini kami cuma ada duit bantuan zakat sebanyak RM300 dan sebenarnya itu adalah untuk beli barangan keperluan anak.
“Dengan hanya RM300 itulah saya gunakan untuk perbelanjaan bagi tempoh sebulan. Kadang-kadang cukup kadang-kadang langsung tidak cukup,” katanya lagi.
Rabiyatuldan anaknya kini menumpang teduh di rumah pusaka tinggalan arwah neneknya yang semakin usang.
Sementara itu, penyelaras Amal Team, Jamilah Salleh memaklumkan pihaknya sudah memberikan bantuan awal termasuk penggantian atap, pendawaian elektrik dan kerja-kerja baik pulih.
Katanya lagi, orang ramai digalakkan tampil memberi sokongan kepada Rabiyatul dan anak istimewanya.
Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun milik Rabiyatul Fazlinaniswati melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 06100 41000 271789 atau menghubunginya di talian 0139018097.- UTUSAN











