KOTA TINGGI: Ibu kepada pemuda yang dikhuatiri lemas di Pantai Batu Layar di sini pagi tadi sempat menasihati anaknya itu supaya tidak mandi di pantai tersebut.
Kakak mangsa, Nur Diana Abdul Rahim Lee, 50, yang menerima panggilan daripada ibunya yang tinggal di Kempas pada pukul 10.30 pagi tadi memaklumkan Haqim Abdul Rahim Lee, 20, dikhuatiri lemas.
Haqim yang tinggal bersama ibunya memaklumkan keluarga bahawa dia akan berkelah di Pantai Batu Layar bersama-sama rakan-rakannya.
“Ibu memang menasihatinya supaya tidak mandi di pantai, kebiasaannya dia memang menurut kata ibu. Kami difahamkan dia dan empat yang lain termasuk adik ditelan ombak dengan adik serta seorang rakan dihanyutkan ke kawasan lebih jauh.
“Jenazah rakan adik sudah ditemukan, manakala kami masih tidak mengetahui nasib Haqim,” katanya yang tinggal di Taman Bayu Damai, Pengerang di sini.
Nur Diana berkata, adiknya yang bekerja di kedai menjual peralatan sukan rajin berkongsi aktivitinya dalam kumpulan WhatsApp keluarga termasuk menganjurkan bacaan tahlil di surau bagi arwah bapa mereka, Abdul Rahim Lee Abdullah yang meninggal dunia 41 hari yang lalu.
“Hari ini genap 41 hari arwah bapa meninggal dunia akibat sakit tua, tidak sangka adik bongsu kami daripada tujuh beradik pula ditimpa kejadian tidak diingini. Semoga ada keajaiban buat Haqim walaupun kami sedar risiko ditelan ombak di kawasan ini. Masih hidup atau tidak, harapan kami adalah pasukan penyelamat mampu menemukannya,” katanya.
Terdahulu media melaporkan kegembiraan dua sahabat mandi-manda di Pantai Batu Layar di sini bertukar duka apabila dikhuatiri lemas pagi tadi.
Mayat Muhammad Syahmi Zamzam, 26, ditemukan 50 meter dari pesisir pantai pada pukul 3.15 petang tadi. – UTUSAN










