Harga minuman di ‘gerai bunian’ milik Pak Daq masih tiga kupang

Harga minuman di ‘gerai bunian’ milik Pak Daq masih tiga kupang

RAZAK Mohamed Abdullah menyiapkan teh tarik yang dijual pada harga 50 sen secawan di gerainya di Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang peniaga gerai nasi lemak di pusat bandar raya ini masih menjual minuman pada harga 30 sen hingga RM1 dengan niat untuk bersedekah kepada para pe­langgannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Razak Mohamed Abdullah, 74, yang sudah 40 tahun berniaga berkata, walaupun menjual secawan teh kosong pada harga 30 sen, teh (50 sen) dan teh ais (RM1), namun dia masih mampu meraih pendapatan sehingga RM600 sehari.

“Saya raih untung daripada jualan nasi lemak dengan harga RM2.50 sebungkus. Setiap hari lebih 250 bungkus nasi lemak habis. Minuman ini saya memang nak ambil untung sikit sahaja kerana yang lebih saya niat­kan jariah untuk pelanggan.

“Sudah 40 tahun berniaga di sini. Alhamdulillah, mungkin berkat berniaga seperti ini saya dan isteri, Fatimah Kamil, 70, mampu buat haji pada 2016 dan dua kali umrah pada 2012 dan 2017,” katanya ketika ditemui di gerainya terletak di tengah-tengah bandar raya di sini.

Lebih menarik tentang perniagaan warga emas yang dikenali sebagai Pak Daq ini adalah dia hanya membuka gerai selama dua jam bermula pukul 6.45 pagi sehingga mendapat jolokan ‘gerai bunian.’

Menurut Razak Mohamed, dia dan isteri bangun pukul 2 pagi setiap hari bagi me­nyiapkan pelbagai jenis lauk untuk jualan nasi lemak.

“Dahulu isteri buat sehingga 350 bungkus tetapi sekarang dia pun tak larat nak bungkus. Jadi, buat paling banyak pun 250 bungkus sahaja. Alhamdulillah, nasi lemak kadang-kadang habis selepas sejam. Pe­langgan kena datang awal, kalau lambat, habis. Kadang-kadang pukul 7.30 pagi nasi lemak sudah habis.

“Terdapat 10 jenis lauk isteri buat tetapi paling laris adalah ikan talang, ayam dan gulai udang. Saya berniaga dekat lorong, jadi sebelum pukul 8.30 pagi saya perlu tutup supaya tidak halang laluan kereta. Selalunya pukul 8 pagi saya sudah tutup,” katanya.

Razak Mohamed menambah, dia tidak berniat untuk menaikkan harga minuman di sebalik kenaikan harga barangan termasuk bahan mentah ketika ini.

“Tidak apalah, memang saya niat untuk bersedekah sahaja. Yang datang makan di sini pun semua pelanggan tetap saya terdiri daripada pelbagai lapisan, daripada kerja pejabat sehinggalah tukang angkut sampah.

“Saya rasa seronok bila dapat berniaga macam ini kerana saya percaya berkat itu lebih penting daripada untung yang banyak. Lagipun dengan perniagaan ini, saya dapat membesarkan empat anak saya sehingga ada yang dapat masuk universiti,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN