Hala tuju Malaysia sertai BRICS antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Hala tuju Malaysia sertai BRICS antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan dasar dan hala tuju Malaysia susulan hasrat untuk menyertai kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) dan bagaimana penyertaannya membantu perkembangan ekonomi negara antara tumpuan pada sesi Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan itu dikemukakan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Pada sesi sama, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) meminta Perdana Menteri menyatakan mengenai fokus kerajaan dalam usaha pencegahan rasuah, meningkatkan tata kelola dan integriti pentadbiran perkhidmatan awam dan syarikat berkaitan kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau juga mahu tahu pelaksanaan reformasi institusi supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat berfungsi secara adil, telus dan bebas daripada campur tangan pihak eksekutif.

Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) pula akan bertanya soalan kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berhubung peruntukan yang diberi kepada Jabatan Pengairan dan Saliran setiap negeri bagi mengatasi masalah ketiadaan saliran dan longkang yang terancang untuk mengelakkan banjir kilat.

Chong Chieng Jen (PH-Stampin) pula meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada kerajaan berhasrat untuk meminda undang-undang supaya pihak bank dipertanggungjawabkan untuk menanggung kerugian sebahagian atau semua mangsa jenayah penipuan yang kerap berlaku.

Persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan pembentangan bacaan kali pertama sembilan rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Sumpah dan Ikrar (Pindaan) 2024 serta Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak (Pindaan) 2024.

Turut dibentang Rang Undang-Undang Angkatan Tentera (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024.

Dewan Rakyat akan menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024, yang antara lain bagi meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan atau penyalahgunaan dadah atau bahan.

Turut tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini adalah sesi Kamar Khas yang menyentuh perihal mengimbangi kebebasan dan sekatan bersuara melalui pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 15 hari hingga 18 Julai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini