MELAKA: Dua papan iklan yang tumbang di Bachang dan Banda Hilir di sini, awal pagi semalam berikutan angin kuat yang melanda kawasan itu disahkan tidak mempunyai lesen dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, empat PBT di negeri ini diminta memantau pemasangan papan iklan terutama yang dipasang secara haram kerana ia boleh mengancam keselamatan orang ramai.
Ujarnya, papan iklan haram berkemungkinan tidak mengikut prosedur pemasangan ditetapkan sehingga menyebabkan ia tumbang ketika dilanda angin kuat.
“Alhamdulillah, kejadian semalam tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan pada orang awam. Namun insiden ini perlu diberi perhatian serius oleh semua PBT bagi memastikan ia tidak berulang, terutamanya melibatkan papan iklan haram.
“Tindakan segera daripada PBT terlibat terhadap dua kes berkenaan akan diambil termasuk memeriksa dan memantau semua papan iklan lain sedia ada,” katanya selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu di Dewan Penjara Sungai Udang, semalam. – UTUSAN










